Ahad, 16 Disember 2012

Solat dhuha dan kelebihannya terutamanya dalam hal kerezkian




1. Solat Sunat Dhuha
Dhuha bermaksud pagi. Antara ibadat sunat yang  menjadi amalan Rasullullah SAW  ialah Solat Sunat Dhuha. Solat Sunat Dhuha adalah merupakan satu ibadat sunat yang sangat dituntut dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A. seperti berikut;

ثلاث هن علي فرائض، وهن لكم تطوع: الوتر، والنحر وصلاة الضحى
Maksudnya:“Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat (sukarela) bagi kamu, sembahyang witir, ibadah korban dan sembahyang Dhuha
Banyak hadis-hadis yang menggalakkan kita melakukan ibadat ini serta keutamaannya. Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak adalah solat Dhuha termasuk amal sunat mu’akkadah dan dianjurkan untuk diamalkan secara rutin (istiqamah). Ini adalah kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam selalu mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya malah baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa sahabat. Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah radhiallahuanhu katanya:



Kekasihku, Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara supaya aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan
                                                                                                  (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”
                                                                                                     (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


2. Kelebihan Solat Dhuha

Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaan mengenai solat sunat ini,  antaranya;-
Rasullullah SAW telah bersabda yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” – Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi
Hadis-hadis diatas jelas menunjukkan tentang kelebihan solat sunat dhuha dan betapa besar ganjarannya apabila kita menunaikan solat sunat dhuha dan sentiasa beristiqamah dengan solat sunat ini. 

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”
                                                                                                       (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. 
bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”
(Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

3. Penentuan Waktu Dhuha
Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fekah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha di Tawau  ini ialah antara pukul 6:45 pagi hingga 12.00 tengahari. (Ini bersaman dengan waktu zohor di Tawau pada 16 Disember 2012 ialah pada pukul 12:07 tengahari)
Pengiraan waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.
Contoh pengiraan berdasarkan formula astronomi;
- Waktu Dhuha = Waktu Syuruk + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh)
Contoh Jadual Waktu Sembahyang di Tawau, Sabah pada 16 Disember 2012 ;
Waktu Syuruk: 0609 pagi
Waktu Subuh : 0446 pagi
Waktu Dhuha di Tawau Sabah pada 16 Disember 2012 ialah :
Waktu Syuruk ( 0609 pagi) + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh) (0609 pagi – 0446 pagi i = 1jam 23 Minit @ 83 minit)
= 0609 pagi + 1/3 (83 Minit)
= 0609 pagi + 28 minit
= 0637 pagi.
(rujukan : Unit Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM. Kaedah Panduan Falak Syarie .hlm.44)

4. Cara melaksanakan Solat Dhuha

Pelaksanaan Solat Sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Ia boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :
”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu. Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud :
” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat, Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah ash-Syams pada rakaat pertama dan surah ad-Dhuha pada rakaat kedua.                (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

Niat Solat Dhuha adalah seperti di bawah ini:

"Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta’ala”


Kemudian setelah selesai solat dhuha maka bacalah doa ini,




Maksud doa: “Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

6. Penutup
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan